Kesihatan : Kanser prostat

ORANG yang kuat makan daging dikatakan mempunyai risiko dua kali ganda mendapat kanser usus besar dan prostat. Kurangkan makan daging.

---------------------------------

PENYAKIT kanser sudah menjadi perkara biasa hari ini sehingga kita terfikir mungkin kita juga akan menghidap penyakit yang amat digeruni ini. Dengan penemuan baru di mana kanser payudara, kanser prostat, usus besar dan kilang telur boleh berpunca daripada baka, tentu anda akan berfikir tiada apa yang boleh dilakukan kecuali hanya berserah kepada takdir. Kenyataan ini tidak benar.

Para pengkaji di Universiti Harvard, Amerika Syarikat mendapati hampir tujuh daripada setiap 10 jenis kanser langsung tidak ditentukan oleh gen tetapi berpunca daripada cara hidup kita. Tiga puluh peratus berpunca daripada merokok, 30 peratus berpunca daripada pemakanan yang tidak sihat dan kira-kira 10 peratus disebabkan oleh tabiat buruk seperti tidak bersenam.

Oleh yang demikian, jika gaya hidup anda boleh menyebabkan kanser, maka cara anda mengendalikan hidup juga boleh menjauhi penyakit ini. Ikutilah nasihat ini untuk mengurangkan risiko mendapat kanser.

*Berhenti merokok
Nasihat ini memang mudah disebut tetapi sukar diamalkan. Merokok menjadi punca kepada 90 peratus daripada jenis kanser paru-paru dan juga punca kanser mulut, esofagus, pundi kencing, buah pinggang dan pankreas.

*Kurangkan berat badanKajian menunjukkan ada kaitan antara kegemukan dengan kanser. Kaitan paling rapat adalah dengan kanser uterin (berkaitan uterus atau rahim), kemungkinan kerana lemak yang berlebihan menambahkan jumlah estrogen dalam darah.

Menurut laporan Harvard 1996 mengenai pencegahan kanser, wanita yang telah berumur dan mempunyai berat 35 peratus melebihi berat badan normal, mempunyai 55 peratus risiko kanser rahim, payudara, serviks, endometrium, kilang telur dan hempedu.
Sementara itu, lelaki yang mempunyai berat badan yang sama mempunyai 40 peratus risiko kanser usus besar dan prostat.

*Lakukan senaman
Senaman dapat membantu mencegah penyakit jantung dan tulang malah ia juga berupaya mencegah kanser. Lakukan senaman ringan dengan kerap kerana ia membantu membuang bahan kumuh dan karsinogen (punca kanser) yang mungkin terdapat dalam makanan dengan cepat daripada sistem pembuangan.
Senaman juga boleh mengurangkan risiko barah payudara dan prostat, kemungkinan kerana lemak telah berkurangan. Wanita yang terlibat dengan tugas yang memerlukan pergerakan seperti berjalan dan mengangkat barang kurang mengalami masalah ini.Apa yang perlu anda lakukan adalah aktiviti sederhana sejam setiap hari seperti berkebun dan menaiki tangga merupakan antara aktiviti yang baik.

*Makan sayur-sayuran, buah-buahan
Kompaun yang terdapat dalam tumbuh- tumbuhan yang dikenali sebagai psitokemia mempunyai keupayaan mencegah kanser secara semula jadi. Malangnya kajian tidak dapat memastikan jenis makanan yang mengandungi bahan ini. Oleh sebab itu, adalah dicadangkan supaya kita memperbanyakkan pengambilan pelbagai jenis sayur-sayuran pada setiap hari.
Makanan ini dapat mencegah barah, kemungkinan dengan mengganggu proses menukar hasil makanan itu menjadi karsinogen. Serat dalam makanan bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran bersatu dengan estrogen yang dapat membantu membuang hormon dari saluran darah sekali gus mengurangkan risiko kanser.

*Pengambilan teh
Kuasa pencegahan kanser dalam teh datangnya dari flavonoids, iaitu kompaun antipengoksidaan yang terdapat dalam teh hijau dan hitam.
Berdasarkan hasil kajian yang dilakukan di Universiti Minnesota, terdapat lebih 35,000 wanita yang putus haid mendapati mereka yang minum dua atau tiga cawan teh sehari, sebanyak 68 peratus kurang mendapat kanser saluran kencing dan 32 peratus kurang mendapat kanser saluran penghadaman jika dibandingkan dengan wanita yang tidak minum langsung.

*Kurang makan daging
Pakar-pakar mendapati, ada sesetengah komponen daging yang boleh menyebabkan anggota kita lebih terdedah kepada karsinogen. Itulah sebabnya orang yang kuat makan daging mempunyai risiko dua kali ganda untuk mendapat kanser usus besar dan prostat. Oleh itu, kurangkan makan daging.
Begitu juga dengan cara memasak. Suhu yang tinggi boleh menyebabkan karsinogen pada daging. Daging itu lebih elok dipanggang dalam ketuhar buat beberapa minit untuk membuang airnya. Kemudian pangganglah seperti biasa.

*Elakkan pengambilan alkohol
Orang yang minum alkohol terlalu banyak mempunyai risiko yang tinggi menghidap penyakit kanser hati, esofagus terutama apabila dia turut merokok, usus besar (apabila mereka mempunyai paras asid folik yang rendah) dan kanser dubur.

Oleh: DR. SULAIMAN TAMANANG

Nuk ka komente:

Related Posts with Thumbnails